Pemain-pemain Indonesia bergambar ketika sesi latihan rasmi sempena perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bagi menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Republik Indonesia di sini memberikan peringatan kepada setiap penyokong negara itu yang berkunjung ke negara ini untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

Kedutaan itu dalam satu kenyataan berkata, setiap penyokong yang hadir diingatkan untuk sentiasa menjaga keamanan, ketertiban dan keselesaan suasana pertandingan serta menghormati peraturan di Malaysia.

“Kedutaan turut menuntut agar penyokong dari negara republik ini untuk menghargai semangat kesukanan, sentiasa bersikap ramah dan menghargai persahabatan agar perlawanan tersebut boleh berjalan dengan lancar, sekali gus memperkuat persahabatan, persaudaraan sebagai bangsa serumpun,” katanya kenyataan itu lagi.

Dijangka 85,000 penyokong bola sepak termasuk 6,500 penyokong skuad Garuda dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyaksikan pertemuan antara Malaysia dan Indonesia malam ini.

Kedua-dua pasukan bertemu di perlawanan kelima saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) pada 5 September lalu menyaksikan insiden kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong tuan rumah.

Penyokong-penyokong Malaysia yang berkunjung ke SUGBK menjadi mangsa balingan objek keras, air kencing, dan pelbagai objek lain, sehingga ada yang melibatkan kecederaan.

Tidak cukup dengan itu, kekecohan turut berlaku di perkarangan SUGBK selepas tamat perlawanan apabila segelintir penyokong Indonesia bertempur dengan pihak berkuasa tempatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penyokong indon di SUGBK tu ramai yg tak sekolah tu pasal merusuh bila kalah… Penyokong indon yg dtg ke bkt jalil adalah indon yg ada-ada dan TKI yg tidak mahu terjebak dlm pergaduhan… Inn sya Allah perlawanan mlm nie berlangsung aman…

Comments are closed.