Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Industri Utama, Teresa Kok (kiri) dan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Tan Sri Mohd Bakke Salleh (kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian MPOB Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia masih lagi belum membawa isu diskriminasi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit kepada pengetahuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Ini kerana, menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, terdapat beberapa negara (EU) yang memberi maklum balas positif terhadap kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan Malaysia dalam mempertahankan minyak sawit dan kaedah penanamannya.

Malah katanya, terdapat beberapa negara EU yang telah pun menerima minyak sawit Malaysia dan menyuarakan hasrat untuk membeli komoditi tersebut.

“Sehingga kita menemui (bukti) yang menunjukkan diskriminasi, kita tidak akan bertindak,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Kongres dan Pameran Antarabangsa Minyak Sawit MPOB 2019 (PIPOC 2019) di sini hari ini.

Ketika diminta untuk menjelaskan sama ada tindakan yang diambil oleh EU adalah satu diskriminasi, Dr. Mahathir berkata, setakat ini Malaysia telah banyak mengeluarkan kenyataan dan negara-negara tersebut kelihatan percaya dengan apa yang dikatakan Malaysia.

Di sidang media yang sama, Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok berkata, kertas Kabinet mengenai sama ada mahu membawa kes tersebut ke WTO atau tidak, sedang diedarkan ke beberapa kementerian ketika ini.

Ia akan dibentangkan ke Kabinet untuk diputuskan tidak lama lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir menyeru Malaysia dan negara-negara pengeluar minyak sawit yang lain meningkatkan usaha untuk menyebarkan maklumat tepat terhadap kelestarian penanaman kelapa sawit, sekali gus membalas tohmahan berkenaan industri tersebut dengan fakta-fakta.

Dalam pada itu tegasnya, isu penebangan hutan tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya mengharamkan penanaman kelapa sawit.

Ini disebabkan pengeluaran minyak sawit pada hakikatnya adalah lebih efisien berbanding minyak-minyak lain seperti soya atau rapseed yang memerlukan kawasan yang besar tetapi pengeluaran hasil yang sedikit.

“Pengeluaran minyak sawit adalah lebih efisien kerana ia memerlukan tanah yang sedikit tetapi mampu mengeluarkan hasil yang banyak.

“Saya ingin tegaskan, penanaman kelapa sawit tidak menyebabkan penebangan hutan secara besar-besarana kerana ia hanya merangkumi 0.4 peratus daripada keseluruhan kawasan pertanian global sahaja.

“Di Malaysia, kelapa sawit ditanam secara besar-besaran di atas tanah pertanian yang telah dikhaskan manakala pembukaan kawasan perladangan baharu sudah tidak lagi berlaku sejak beberapa tahun lalu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast