Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan bercadang melaksanakan peperiksaan ulangan untuk subjek tunggal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak tiga hingga empat kali berbanding hanya menjalankannya pada bulan Jun (dikenali kertas Julai) pada ketika ini.

Ketua Jabatan Lembaga Peperiksaan, Adzman Talib berkata, rancangan yang dijangka  dijalankan mulai tahun depan itu dilaksanakan mengikut permintaan berdasarkan mata pelajaran.

Beliau berkata, sebagai permulaan, mata pelajaran ulangan akan ditambah daripada tiga pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik kepada sembilan mata pelajaran.

Mata pelajaran tambahan yang dicadangkan adalah Bahasa Inggeris, Prinsip Akaun, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan Biologi.

“Tempat peperiksaan ulangan adalah di Lembaga Peperiksaan sebelum diperluaskan ke Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya kepada Sinchew Daily.

SPM ulangan pada masa ini dijalankan pada Jun untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah sahaja.

Calon juga boleh mengulang peperiksaan SPM pada akhir tahun dengan mendaftar sebagai calon peribadi, tetapi perlu mengambil semua subjek yang wajib.

Pada tahun ini, peperiksaan SPM “kertas Julai” membabitkan 9,827 calon telah dijalankan dari 25 hingga 27 Jun. – MalaysiaGazette