Sebahagian penyokong pasukan Harimau Malaya dan pasukan Indonesia bergambar kenangan samasa hadir untuk menyaksikan perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suasana di luar Stadium Nasional Bukit Jalil di sini mula gamat dengan sorakan para penyokong pasukan Malaysia dan Indonesia yang akan beraksi untuk saingan Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam ini.

Bahang kehangatannya sudah mulai terasa sejak pukul 6 petang tadi apabila penyokong kedua-dua pasukan mula mengisi tempat duduk di stadium yang mula dibuka seawal pukul 4 petang walaupun perlawanan hanya bermula pukul 8.45 malam.

Gelagat penyokong Malaysia dan penyokong Indonesia ketika hadir untuk menyaksikan perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019.

Bagi penyokong Malaysia, rata-rata mereka mengenakan jersi pasukan kebangsaan “Harimau Malaya” sambil mengibar-gibarkan bendera Jalur Gemilang serta sepanduk yang tertera kata-kata perangsang.

Sementara itu di perkarangan stadium pula, suasana seolah-olah suatu karnival apabila para peniaga mengambil kesempatan mencari rezeki daripada kebanjiran para peminat bola sepak di sini.

Antara sebahagian penyokong pasukan Malaysia ketika hadir untuk menyaksikan perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019.

Laluan menuju ke arah kawasan stadium dari Stesen LRT Bukit Jalil pula ibarat pesta apabila peniaga cuba melariskan jualan produk masing-masing.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan sejumlah 85,00 tiket untuk penyokong Malaysia manakala 5,000 lagi untuk penyokong Indonesia.

Sambutan terhadap perlawanan itu begitu hangat sekali sehingga tiket perlawanan sudah habis dijual melalui secara atas talian dua hari sebelum hari perlawanan.

Aksi seorang penyokong Harimau Malaya, Zairuni Kordi dengan badannya diwarna dengan corak harimau ketika hadir untuk menyaksikan perlawanan Malaysia dan Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2019

Perlawanan malam ini dijangka panas gara-gara pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) pada 5 September lalu yang menyaksikan insiden kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong tuan rumah.

Penyokong-penyokong Malaysia yang berkunjung ke sana menjadi mangsa balingan objek keras, air kencing, dan pelbagai objek lain sehingga ada yang melibatkan kecederaan.

Tidak cukup dengan itu, kekecohan turut berlaku di perkarangan SUGBK selepas tamat perlawanan apabila segelintir penyokong Indonesia bertempur dengan pihak berkuasa tempatan. – MalaysiaGazette