Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilhat mengesat hidung berkali-kali semasa sidang media pada Majlis Perasmian MPOB Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berada dalam keadaan sihat dan bertugas seperti biasa.

Beliau terpaksa menamatkan sidang media dalam keadaan tergesa-gesa pagi tadi kerana mengalami sedikit pendarahan hidung.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalami sedikit pendarahan hidung, bagaimanapun beliau berada dalam keadaan sihat dan tidak membimbangkan.

“Beliau bertugas seperti biasa.

“Berita yang mengatakan beliau bergegas untuk mendapatkan rawatan adalah tidak benar,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang sebelum itu merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2019 (PIPOC 2019) di Kuala Lumpur Convention Centre kelihatan penat dan tidak sihat semasa menghadiri sidang media berkenaan.

Beliau kerap kali mengesat hidung dengan menggunakan sapu tangan dan bersuara terlalu perlahan ketika menjawab soalan-soalan daripada media.

Sidang media yang berlangsung hanya kira-kira empat minit itu berakhir apabila terdapat sedikit tompok darah pada sapu tangan yang digunakan beliau.

Beliau kemudiannya diiring keluar daripada ruang sidang media oleh pasukannya bersama Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok.

Insiden tersebut dilaporkan oleh beberapa portal yang mengatakan Perdana Menteri terpaksa menghentikan sidang media kerana tidak sihat dan perlu mendapatkan rawatan segera.- MalaysiaGazette