KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dihalang muncul dalam sebuah program Bual Bicara di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini selepas pihak penganjurnya menerima tekanan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Abdul Hadi menerusi Twitter miliknya semalam dengan memuat naik surat penangguhan Slot Bicara Eksklusif sempena Karnival Inspirasi Putra UPM yang dijadual berlangsung, hari ini.

Syarahan akademik itu merupakan anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM).

Dalam pada itu, perkara itu turut disahkan oleh Setiausaha Politiknya, Syahir Sulaiman yang mengatakan penangguhan itu dibuat oleh pihak universiti atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak kami telah dimaklumkan, program syarahan akademik yang dijadualkan akan disampaikan oleh YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di UPM esok, Selasa 19 November.

“Ia telah ditangguhkan melalui suatu surat daripada pihak HEP UPM bertarikh hari ini (18 November 2019) atas sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya yang dimuat naik di Facebook milik Abdul Hadi, semalam.

Surat HEP UPM itu antara lain berkata, susulan penangguhan itu, pihak universiti akan menggantikan syarahan akademik itu dengan program lain iaitu Wacana Intelek tanpa menyatakan tarikh.

“Pihak UPM akan menggantikan slot ini dalam sesi Wacana Intelek yang akan diadakan kelak,” kata surat berkenaan yang ditandatangani oleh Ketua Bahagian HEP UPM, Fahmi Azar Mistar. – MalaysiaGazette