BEIJING – Syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba akan meraih sehingga AS$ 12.9 bilion dalam penyenaraian bersilang di Hong Kong dengan 2.8% diskaun berbanding harga penutup terakhir di New York.

Alibaba telah memberi panduan kepada para pelabur institusi bahawa sahamnya akan berharga HK$176 setiap satu, kata sumber kepada Reuters.

Penyenaraian itu akan meraih HK$ 88 bilion (AS$ 11.3 bilion) sebelum melaksanakan peruntukan pilihan yang dipanggil ‘greenshoe’, yang boleh meningkatkan jumlah itu menjadi $ 12.9 bilion.

Greenshoe adalah klausa yang terkandung dalam perjanjian taja jamin bagi Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang membenarkan penaja jamin untuk membeli sehingga tambahan 15% saham-saham syarikat pada haraga tawaran.

Alibaba sebelum ini memberi isyarat ia boleh meraih sehingga AS$13.4 bilion jika pilihan greenshoe dilaksanakan.

Harga bagi komponen runcit perjanjian itu akan dimuktamadkan di Hong Kong pada hari Rabu dan pelabur institusi akan dimaklumkan pada masa yang sama berapa banyak jumlah untuk mereka akan diperuntukan.

Harga saham Alibaba pada hari Selasa ditutup di New York pada AS$185.25 sesaham, naik 0.35% bagi sesi tersebut. – MalaysiaGazette