KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sarawak, Baru Bian hari ini menafikan dakwaan wujudnya usaha untuk menubuhkan parti baharu antara beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Baru berkata, beliau tidak mempunyai cita-cita ke arah itu sebaliknya mahu melihat Anwar kembali menyelesaikan masalah dalaman PKR yang kini berantakan khususnya pertembungan dengan timbalannya.
“Tidak, saya tidak ada kelebihan ini (tubuh parti).
“Tujuan kami jelas, mahu langkah positif dan serius diambil oleh pemimpin parti nasional untuk mendamai dan selesai segera masalah dalaman parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Baru juga berkata, beliau dan 19 Ketua Cabang PKR yang menyokongnya juga tidak mempunyai niat menubuhkan parti baharu dan mahu melihat PKR kembali pulih.
“Kami sangat ambil berat tentang hal serius ini dan itu adalah niat kami melainkan dia nak hancurkan parti,” katanya.
Baru turut mengulangi pendiriannya bahawa pembatalkan Konvensyen Keadilan Negeri bukan satu ugutan sebaliknya mesej kepada Anwar untuk menyatupadukan anggota parti semula.
“Apa yang berlaku di Sarawak adalah sangat jelas bagi kami dan sebab itu kami jelas membuat pendirian dalam perkara ini.
“Ia bukan satu ugutan tapi untuk menyatu dan mengukuhkan parti. Saya percaya pemimpin kita (Anwar) boleh lakukan.
“Kita hanya mewakili pemimpin negeri dan itu kebimbangan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette