Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran diiringi Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Alice Lau Kiong Yieng beramah mesra bersama graduan pada Majlis Konvokesyen B40 Capacity Building NIOSH di Palm Garden Hotel, IOI Resort City, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 20 NOVEMBER 2019.

PUTRAJAYA- “Ada dua pekerjaan yang gerenti tiada masalah, ahli Parlimen dan menteri,” gurau Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran ketika ditanyakan mengenai pekerjaan-pekerjaan yang mungkin pupus pada masa hadapan selepas berlakunya Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Katanya, kerajaan sangat prihatin dengan masalah tersebut dan mengambil perhatian segera dengan menyediakan alternatif kepada pekerja-pekerja yang berkemungkinan kehilangan sumber pendapatan masing-masing di samping mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Dengan itu, kerajaan menurut beliau memperuntukkan RM30 juta sebagai permulaan untuk mewujudkan kursus-kursus yang mempunyai kaitan dengan IR 4.0 seperti integrasi sistem, Internet of Things (loT), sekuriti siber dan kajian internet.

Peruntukan tersebut disalurkan melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) yang akan menganjurkan kursus-kursus tersebut kepada anak-anak daripada golongan B40.

“Kecerdasan Buatan (AI) akan menggantikan banyak pekerjaan. Dalam bidang perakaunan contohnya, kira-kira 80 peratus boleh digantikan dengan AI.

“Cuma, Malaysia bertuah kerana kadar pengangguran sangat rendah iaitu hanya 3.3 peratus sahaja manakala peluang pekerjaan yang ada adalah kira-kira 146,000 dan kita masih mewujudkan peluang pekerjaan supaya anak-anak kita boleh bekerja.

“Apa yang penting, para pelajar perlu tahu apakah jurusan yang diambil bakal menyediakan peluang pekerjaan pada masa hadapan atau tidak.

“Lima tahun lalu, sekuriti siber bukanlah jurusan yang popular tetapi pada masa hadapan ianya menjadi sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Program Pembangunan Kapasiti B40 oleh NIOSH di sini hari ini.

Dengan itu menurut Kula Segaran, kerajaan akan mengeluarkan senarai pekerjaan-pekerjaan mempunyai risiko diancam IR 4.0 supaya boleh dijadikan panduan oleh semua rakyat terutamanya pelajar sekolah.

Senarai itu sedang disiapkan dan dijangka dikeluarkan kepada umum selewat-lewatnya hujung tahun ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast