KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tidak memberi kelulusan untuk pandu uji penerbangan UAS E-Hang 216 (EH216) yang dijadualkan pada 21 November ini.

Ini kerana, lokasi ujian penerbangan itu akan dilakukan di UNIKL MIAT Hangar Subang, yang terletak kurang 200 meter dari trafik penerbangan komersial dan helikopter.

Malah, jelas lokasi ujian itu berada di Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang yang berada di bawah pengawasan ketat oleh Kawalan Trafik Udara, kata CAAM dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, EH216 hanya memiliki Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad kepada penyelidikan & pembangunan penerbangan di Grand World Science Park, di Guangzhou.

CAAM berkata, pihaknya juga menjalankan siasatan berhubung penerbangan demonstrasi yang tidak sah melibatkan EH216 pada 15 November 2019, di kawasan yang sama dalam lingkungan Lapangan Terbang Subang.

Menurutnya, walaupun CAAM menyokong pembangunan industri aeroangkasa di Malaysia namun ujian dan demonstrasi penerbangan mesti dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016) demi keselamatan.

Tambah CAAM, pihaknya terbuka untuk mempertimbangkan permintaan untuk ujian penerbangan EH216 di lokasi yang sesuai dengan sokongan Pentadbiran Penerbangan Awam China.

CAAM dipercayai mengeluarkan kenyataan ini susulan pandu uji kereta terbang yang akan dibuat oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada Khamis ini.

Mohd Redzuan sebelum ini enggan mendedahkan lokasi ujian pandu kereta terbang tersebut kerana ia tidak terbuka kepada sebarang liputan media atau tontonan awam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.