VIDEO Oleh: Nik Muhammad Ihsan Nik Salleh/MalaysiaGazette 

KUALA LUMPUR – Suasana di lobi Dewan Rakyat hangat apabila dua ahli Parlimen tiba-tiba bertengkar sambil saling berteriak beberapa minit sebelum sidang berhenti rehat.

Pergaduhan itu adalah di antara Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan  Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau).

Kedua-dua mereka meninggikan suara sehingga ke satu peringkat Ismail mengatakan Tajuddin sebagai ‘orang tua yang bodoh’.

Ismail semasa pergaduhan menyebut tentang sekeping gambar yang tersebar ditularkan Tajuddin.

“Gambar kawan-kawan saya ziarah anak saya sakit dijadikan isu kata saya buat pakatan menyokong seorang pemimpin yang lain, mana boleh tak betul,” kata Ismail yang ditenangkan oleh pengawal keselamatan dan ahli parlimen yang lain.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (dua kanan) bertengkar mulut dengan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kiri) yang dipercayai akibat salah faham antara mereka pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2019.

Namun beliau tidak menunjukkan gambar yang dimaksudkan.

Ismail turut mencabar Ahli Parlimen Pasir Salak dengan berkata: “Kalau berani datanglah sini. Kita turun bawah”.

Selepas itu pengawal yang berada di lobi menenangkan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut dan Tajuddin menuju ke pejabatnya sambil berkata: “Tidak ada kena mengena dengan anak kamulah.”

Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh Datuk Sri Annuar Musa keluar dari Dewan Rakyat menenangkan Ismail dan mengajaknya berjumpa Tajuddin di pejabatnya. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

  1. Benda boleh selesai cara bertinju…cara cepat dan mudah untuk dapat keputusan bertumbuk sahajalah sesama sendiri BN VS UMNO apa ada hal.,terbaik !!!! nanti minta nasihat penasihat UMNO mesti katanya “saya terkejut” dan “saya rasa sangat sedih”.

Comments are closed.