Foto Twitter FAS

KUALA LUMPUR – Spekulasi masa depan penyerang, Amri Yahyah akhirnya terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pemergian pemain tersebut.

“Terima kasih Amri Yahyah!

“Benar kata pepatah, kita hanya mampu merancang namun Allah yang menentukan.

“Sesungguhnya Dia lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hambaNya.

“Setelah hampir 16 tahun berbakti untuk pasukan Selangor, ketua pasukan dan juga living legend skuad Red Giants, Amri Yahyah dan pasukan memilih untuk tidak lagi bersama untuk musim hadapan,” tulis FAS di Twitter miliknya.

FAS menyifatkan Amri sebagai pemain terbaik yang pernah mewakili mereka selepas era Mokhtar Dahari.

“Selepas pemergian Allahyarham Mokhtar Dahari, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa Amri adalah pemain terbaik yang pernah menyarung jersi Selangor.

“Jasa yang ditaburkan oleh pemain yang berumur 38 tahun ini untuk pasukan Selangor terlalu banyak untuk diceritakan,” kata FAS lagi.

Amri yang lahir pada 21 Januari 1981 merupakan anak jati Tanjung Karang.

Dia  merupakan penjaring gol terbanyak untuk pasukan Red Giants dengan lebih 100 gol.

Kariernya bermula pada 20 tahun yang lalu apabila Amri menyertai skuad Piala Milo Selangor selepas berjaya melepasi sesi pemilihan di Kelana Jaya.

Setahun kemudian, Amri berjaya menjuarai Piala Milo setelah membantu pasukan Selangor menewaskan Johor 2-1 di Stadium Larkin.

Disebabkan aksi cemerlangannya bersama skuad bawah umur, dia telah dipanggil oleh Abdul Rahman Ibrahim yang merupakan Ketua Jurulatih Skuad Senior Selangor pada tahun 2001.

Pada tahun itulah Amri membuat debutnya untuk skuad senior dan menjaringkan gol pertamanya untuk skuad Gergasi Merah sewaktu bertemu Johor FA dalam saingan Piala FA yang berkesudahan 1-1.

Dia dilantik sebagai ketua pasukan pada musim 2009 yang merupakan satu penghormatan atas sikap kempimpinannya yang semula jadi.

Untuk musim pertamanya sebagai kapten skuad Merah Kuning, Selangor berjaya menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super.

Dia sekali lagi membantu Selangor untuk mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan Liga Super untuk musim 2010. Tiga tahun selepas itu, Amri menyerahkan lilitan

Pada tahun sama, peminat menyaksikan beliau menjaringkan gol terakhir untuk Selangor ketika menentang pasukan Johor sebelum meninggalkan skuad Merah Kuning dan berhijrah ke pasukan tersebut selama tiga musim.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, Amri kembali menyarung jersi Merah Kuning pada pertengahan musim 2017 selepas berkelana seketika bersama pasukan Melaka United.

Bagi musim 2018, Amri sekali lagi membantu Selangor layak ke final Piala FA namun tewas kepada skuad Pahang yang pada ketika itu rata-rata dibarisi oleh pemain bintang. – MalaysiaGazette