Redzuan menunjukkan isyarat bagus selepas meninjau Super Drone atau kenderaan terbang di Subang, Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof hari ini meninjau super drone atau kenderaan udara di Subang.

Tinjauan itu bagi memenuhi jemputan dari usahawan tempatan, Eastcap Berhad yang bekerjasama dengan syarikat luar negara yang membawa dron tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Usahawan kepada media, lawatan tertutup itu merupakan amalan biasa kementerian dan agensi di bawahnya bagi untuk lebih dekat kemampuan usahawan.

Sebagaimana dilaporkan media sebelum ini, kementerian juga telah memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron serta air mobility yang dijalankan syarikat tempatan dan luar negara.

Kata kenyataan itu, projek berkenaan dapat menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri aeroangkasa dan air mobility menerusi usahasama antara syarikat tempatan dan antarabangsa dalam bidang assembly dan pembuatan parts & components serta menggunakan teknologi terkini merangkumi big data, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT).

“Ia merupakan inisiatif swasta yang tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada pihak kerajaan,” kata kenyataan itu.

Redzuan yang melakukan lawatan dan tinjauan tertutup bersama usahawan tempatan, Eastcap Berhad di depan model Super Drone atau kenderaan terbang di Subang.

Sementara itu, Mohd. Redzuan dilaporkan berkata, kementeriannya akan terus menyokong dan memudahcara pembangunan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang berinovasi tinggi.

Ini katanya, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.

Tambah beliau, kementeriannya juga akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030.

“Bagaimanapun, usahawan yang hendak menceburi industri itu harus akur dan memahami peraturan serta undangundang sedia ada dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di negara ini terhadap proses penguatkuasaan dan pemantauan sebarang aktiviti berkaitan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Mohd. Redzuan turut diberi penerangan mengenai perancangan syarikat tersebut untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan fasiliti pemasangan kenderaan udara sebanyak 10,000 unit setahun dengan pewujudan 2,000 peluang pekerjaan untuk pasaran eksport dengan negara yang dikenal pasti oleh usahawan berkenaan.

Kementerian Pembangunan Usahawan juga menggalakkan lebih banyak syarikat inovasi tempatan untuk memilih Cyberjaya sebagai platform test-bed bagi menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, dron dan air mobility.

Pada masa sama, kementerian itu sedang berbincang dengan Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengenai keperluan mewujudkan kerangka perundangan kondusif dan holistik bagi menyokong perkembangan industri itu, di samping memperkasakan ekosistem sedia ada. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Kereta terbang’ bakal diuji menteri hanyalah dron?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast