Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi berucap pada Majlis Perasmian Pesawat Baru AirAsia di Sepang Aircraft Engineering (SAE), Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 NOVEMBER 2019

SEPANG – Aset bernilai RM9,338 yang diisytiharkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi adalah sebuah motosikal.

Ketika diminta menjelaskan mengenai perubahan terkini seperti yang tertera dalam laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamaddin berkata, hanya itu sahaja aset yang didaftarkan di bawah namanya.

Rumah, kereta dan harta lain menurutnya adalah milik isteri dan anak-anak beliau.

“Jika tiada harta didaftarkan dengan nama saya maka ia bukan aset saya.

“Apa yang susah sangat, saya bukan lari cukai. Saya membayar cukai. Kalau saya lari cukai, barulah perkara ini serius.

“Gaji saya hanya RM14,000. Pada umur sebegini, saya hanya mahu menyimpan duit dan tidak mahu membeli sebarang harta kerana tidak mahu pening kepala memikirkan mengenainya.

“Saya mahu menyimpan duit dan jika saya mati, duit tersebut boleh diberikan kepada isteri dan anak-anak saya.

“Saya sendiri tidak memandu, hanya menjadi penumpang malah saya tidak tahu langsung selok-belok jalan di Kuala Lumpur,” katanya semasa sidang media selepas menyambut ketibaan pesawat terbaharu AirAsia A321neo di sini hari ini.

Mohamaddin merupakan antara 25 menteri dan timbalan menteri yang tidak mengisytiharkan aset semasa pusingan pertama pengisytiharan tahun lalu.

Beliau mengggunakan alasan miskin dan tidak mempunyai aset untuk diisytihar.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai ura-ura rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat, beliau berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

“Saya tidak ambil peduli mengenai rombakan Kabinet.

“Jika diminta kekal, saya akan  kekal, jika tidak, ianya bukan kuasa saya untuk menentukannya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette