DHAKA – Seorang lelaki yang berkahwin sebanyak 60 kali ditahan kerana menipu dokumen dan mencuri wang milik bapa mertuanya.

Abu Baker, 45, didakwa menggunakan dokumen palsu pada nama Shaheem Alam untuk membuktikan dia belum pernah berkahwin atau balu, menurut Dhaka Tribune.

Tetapi, isteri ke-60, Rosy Khan yang baharu dikahwininya menyedari kejadian itu telah memfailkan kes di balai polis Purbadhala.

Menurut laporan itu, Baker dilaporkan berkahwin untuk wang dan kemudian menceraikan isteri-isterinya.

Selepas Baker berkahwin, dia bertanyakan tentang mas kahwin kepada bapa Rosy tetapi ditolak.

Baker kemudian mencuri sebanyak Tk80,000 (kira-kira RM3,930) daripada bapa mertuanya sebelum melarikan diri.

Baker tidak menggunakan alamat sebenar dalam dokumen palsu, kata laporan itu.

Di kediamannya yang sebenar, dia dikenali sebagai ‘Guru Baker’.

Di sana, dia tinggal bersama isteri pertama, Sazeda Begum yang dikahwini pada usia 20 tahun bersama dua lagi isteri serta tujuh anaknya.

Ansar Ali, pegawai yang bertanggungjawab di balai polis Islampur, berkata, ‘Guru Baker’ mengaku bahawa dia telah berkahwin 60 kali. – MalaysiaGazette