FAM menaruh harapan ke atas skuad bawah 22 kebangsaan Ong Kim Swee untuk melakar kejutan di Sukan Sea Manila akhir November ini.Foto: FAM

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan prestasi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang akan berentap di Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina hujung November ini.

“Kita dapat lihat skuad kebangsaan dibawah pimpinan beliau mampu menempa kejayaan. Ini juga membuka peluang kepada setiap pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas hadir dan menyaksikan sendiri dua perlawanan persahabatan skuad B-22 yang masing-masing berdurasi 50 minit di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Skuad B-22 kebangsaan menewaskan Northern Territory Selection 3-0 menerusi jaringan Khairul Amizan Suhaimi, Luqman Hakim dan R. Dinesh.

Malaysia kemudian menewaskan Western Australia Selection 2-0 menerusi jaringan Hadi Fayyadh dan Kogileswaran Raj.

Kim Swee pernah menghadiahkan pingat emas Sukan SEA di Indonesia 2011 dan pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Skuad kebangsaan dijadualkan bertemu Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum menentang tuan rumah (29 November), Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).-MalaysiaGazette