Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (tengah) diiringi Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bergambar kenangan bersama 750 murid dan pelajar sekolah selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Ceria Ke Sekolah Sesi Persekolahan 2020 di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 22 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seramai 750 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan di Bangsar berdekatan Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima sumbangan untuk persediaan persekolahan sesi 2020 menerusi Program Ceria Ke Sekolah.

Sumbangan adalah berbentuk pakaian seragam, kasut dan beg sekolah selain alat tulis bernilai RM200, disampaikan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie di ibu pejabat syarikat itu.

Antara pelajar-pelajar yang menerima sumbangan itu adalah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, SMK Seri Pantai, SMK Bukit Bandaraya, Sekolah Kebangsaan (Sk) Bangsar, SK Bukit Pantai dan SK Bukit Bandaraya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (tengah) diiringi Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bergambar kenangan bersama 750 murid dan pelajar sekolah selepas menyampaikan sumbangan pada Majlis Ceria Ke Sekolah Sesi Persekolahan 2020 di Ibu Pejabat TNB di Bangsar, Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 22 NOVEMBER 2019

“Penyerahan sumbangan hari ini adalah bukti keprihatinan TNB terhadap ‘jiran tetangga’ kami di Lembah Pantai.

“Telah menjadi Tanggungjawab Korporat (CR) kami untuk memberi semula kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam bidang pendidikan untuk generasi masa depan,” kata beliau semasa majlis sumbangan yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Fadzil.

Moggie menjelaskan bahawa usaha TNB untuk memastikan generasi masa depan agar terus menerima pendidikan sempurna adalah selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 yang diumumkan Kerajaan.

“Dengan adanya pendidikan yang lebih baik, ia mampu mengubah banyak perkara dalam kehidupan. Anak-anak yang dibantu ini diharapkan akan berjaya dan kejayaan itu kelak bakal dinikmati bersama oleh keluarga mereka,” tambahnya beliau.

Program Ceria Ke Sekolah mula dilancarkan pada 2013, bertujuan mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi menghadapi sesi persekolahan baru.

Ia adalah inisiatif Tanggungjawab Korporat berfokuskan pendidikan yang meliputi seluruh negara, dengan lebih RM1 juta diperuntukkan untuk membantu lebih 5,000 pelajar daripada keluarga B40 tahun ini. -MalaysiaGazette