Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan isteri, Datin Seri Azlin Hezri bergambar kenangan sebahagian penduduk yang hadir bagi membuat pemeriksaan kesihatan pada Program Mammogram Percuma ETIQA Fasa 3 di Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Keputusan cadangan mewajibkan ibu bapa memberi suntikan vaksin kepada anak mereka akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas khas yang ditanggungjawabkan menyediakan kertas kerja kajian itu akan membentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Perancangan Kementerian Kesihatan.

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa Pemandu Perancangan dalam kementerian yang akan membentangkan hasil kajian yang diperolehi pasukan petugas khas itu.

“Mereka akan membentangkan kepada saya hasil yang diperolehi dalam isu wajibkan pemberian vaksin kepada anak anak.

“Selepas mendengar dan meneliti segala hasil dapatan itu saya akan membuat pengumuman keputusan dan cadangan yang akan dikuatkuasakan kementerian nanti,” katanya selepas melancarkan Kempen Mammogram Percuma Etiqa Fasa ketiga di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia hari ini.

Tambah beliau, perkara itu sudah berada pada penghujung dan pihaknya masih memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan hasil dapatan yang akan dibentangkan kepadanya nanti.

“Jika saya dapat hasil kajian jawatankuasa itu, akan dibentangkan pada mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian dan isyaAllah minggu seterusnya akan umumkan tindakan kami,” katanya. – MalaysiaGazette