SAYA bertemu Alec, seorang pemuda yang berasal dari Serian, Sarawak ketika dia datang untuk membaiki pendawaian elektrik di rumah saya. Seorang kawan memberikan nombor telefon bimbit Alec bila saya bertanyakan padanya tentang mana-mana juruteknik yang mampu membaiki kerosakan tersebut.

Dengan berambut panjang dan bertatu, saya sebetulnya tidak begitu yakin Alec mampu menyelesaikan masalah berkenaan. Saya merasakan dia hanya belajar secara ‘by heart’ daripada teman-temannya mungkin. Nampak tak betapa awal-awal lagi saya sudah menilai ‘kulit buku berbanding isinya.’ Ternyata saya silap.

Saya nampak Alec begitu selesa menjalankan tugasnya. Dia tekun melakukan kerja pembaikan tersebut dengan teliti dan hasilnya cukup memuaskan hati – itu sajalah yang boleh saya katakan.

Sebelum pulang, Alec sempat menceritakan betapa dia merindui kampung halamannya, keluarga serta kawan-kawan, tidak terkecuali mee kolok yang cukup dia gemari setiap kali pulang ke sana.

Saya tanya pada Alec, di mana kamu belajar kemahiran ini? Dia hanya menjawab dengan ringkas – CENTEXS.

Serius saya tak pernah dengar nama itu. Yang saya selalu dengar adalah IKM dan Giatmara bila bercakap pasal institut latihan teknikal ini.

Ketika itu saya menggambarkan yang CENTEXS mungkin sebuah kolej kecil di negerinya. Mungkinlah.

Beberapa hari lalu saya ke Kuching kerana ada perasmian pejabat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Kebetulan saya mempunyai ramai kenalan di sana, mereka menjemput saya untuk memeriahkan majlis kerana banyak acara sampingan dalam program tersebut.

Ia dijalankan sempena hari terbuka SMA.

Antara programnya termasuklah pertandingan e-sukan, konsert indie, ceramah motivasi oleh Datuk Aznil Nawai, Pasar Orang Kita (POK!) dan banyak lagi.

Dalam majlis itu, seorang teman mencadangkan saya ke CENTEXS yang terletak di Santubong, kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuching. Bila sebut saja nama tersebut, saya terus teringatkan Alec, pemuda yang saya ceritakan di awal tadi.

Peluang tersebut tidak saya lepaskan, apatah lagi sahabat saya, wakil rakyat Tupong, YB Fazruddin Abdul Rahman juga dalam perjalanan ke situ.

Ketika saya tiba di CENTEXS, barulah saya tahu rupanya ia adalah sebuah anak syarikat Yayasan Sarawak yang berfungsi sebagai ‘kilang pembelajaran’ untuk memberi latihan kepada anak-anak muda negeri itu dalam bidang teknikal seperti mana yang diperlukan oleh industri.

Ia cukup besar dan luas. Menariknya yuran pengajian adalah PERCUMA malah diberikan lagi elaun makan minum, elaun sara diri dan asrama penginapan.

Paling membuatkan saya teruja, selain menyediakan latihan bagi membolehkan pelatihnya mendapat pekerjaan, CENTEXS juga memberi peluang kepada semua pelatihnya termasuk mereka yang bukan lulusan dari situ untuk menjana pendapatan sendiri atau melibatkan diri dalam bidang perniagaan menerusi aplikasi SARA-X yang dijangka siap dibangunkan pada penghujung tahun ini.

SARA- X merupakan singkatan perkataan ‘Sarawak Experts’ yang merujuk kepada rakyat Sarawak yang mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.

Sebagai permulaan, perkhidmatan yang ditawarkan ialah perkhidmatan kecantikan, perkhidmatan komputer dan komputer riba, runner, mencuci kenderaan, perkhidmatan penghawa dingin, memotong rumput, juruelektrik, pendawai elektrik dan tukang jahit.

Konsep penggunaannya sangat mudah dan sama seperti aplikasi lain seperti Grab, Food Panda dan sebagainya.

Pengguna hanya perlu memuat naik aplikasi tersebut ke dalam telefon bimbit, memilih jenis perkhidmatan yang diperlukan selain memilih penyedia perkhidmatan yang tersenarai di dalamnya.

Syaratnya cukup mudah, sesiapa yang berminat menjadi penyedia perkhidmatan ini hanya perlu menghadiri kursus latihan selama sehari yang dikendalikan oleh CENTEXS.

Ia diberikan secara percuma dan setiap peserta akan diberikan sijil yang diiktiraf oleh pihak industri sendiri, sekali gus menjadi jaminan untuk meyakinkan pengguna bahawa setiap perkhidmatan yang disediakan itu dilakukan oleh pakar yang bertauliah.

Pendek kata selepas ini warga Sarawak kalau nak cari perkhidmatan baiki paip bocor sebagai contoh, mereka hanya perlu ke aplikasi SARA-X sahaja dan pilih siapa sahaja tukang paip yang namanya tertera di situ terutama yang berhampiran dengan lokasi kediaman masing-masing.

Sekaligus ia menjadikan situasi ‘menang-menang’, anda dapat perkhidmatan yang anda mahu, lulusan CENTEXS dan mana-mana individu yang dapat sijil dari pusat latihan itu pula akan dapat menambah sumber pendapatan mereka!

Terus terang, saya sangat kagum dengan kesungguhan kerajaan Sarawak untuk membantu belia-belianya khususnya dalam menyediakan latihan, kemahiran dan teknologi bagi mengeluarkan mereka keluar daripada masalah pengangguran, kemiskinan dan secara tak langsung warga mereka yang bekerja di luar boleh kembali untuk mencari rezeki di bumi sendiri.

Saya mendoakan agar belia macam Alec dapat pulang semula ke Serian, mencari rezeki di tanah kelahirannya sendiri dan terus menikmati mee kolok kegemarannya selepas ini. Semahunya!