Stuart Ramalingam.

KELANA JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan bintang muda negara yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal tidak disenarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA Filipina kerana masalah dokumentasi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, dokumentasi pemain berusia 21 tahun itu memerlukan proses penyelarasan yang agak lama.

Beliau bagaimanapun tidak boleh mendedahkan butiran antarabangsa itu kepada umum.

“Seperti semua maklum, rakyat Malaysia hanya memiliki satu pasport sahaja.

“Pemain seperti Wan Kuzain pula mempunyai dua warganegara yang memerlukan masa yang lebih untuk proses penyelarasan.

“Pada masa sama, tarikh senarai nama ke Sukan SEA ditutup semalam dan skuad B22 telah berlepas ke Manila pagi tadi.

“Sekiranya kita ada lebih masa, keputusan berkaitan Wan Kuzain boleh dibuat lebih awal,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco FAM di sini hari ini.

FAM semalam memaklumkan masalah dokumentasi pemain kelahiran Carbondale, Illinios, Amerika Syarikat itu tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain yang tamat semalam juga.

Wan Kuzain yang mewakili kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City dilaporkan tiba di tanah air pada 17 November lalu sebelum melaporkan diri kepada ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee untuk sesi latihan bersama skuad B-22 negara sehari kemudian.

Difahamakn urusan dokumentasi Wan Kuzain dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk diselesaikan.

Sementara itu, Kim Swee mengekalkan tujuh pemain yang membantu Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, termasuk pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin, 23, dan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria, 24, yang mengisi dua kuota pemain lebih umur 22 tahun.

Lima pemain lain adalah penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Syahmi Safari.

Kim Swee yang bakal membuat penampilan kali kelima selaku jurulatih skuad B-22 negara pada Sukan SEA kali ini, turut menyenaraikan tiga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD), termasuk penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin.

Untuk rekod, Kim Swee, 49, mula mengendalikan skuad B-22 negara sejak edisi 2011 di Indonesia, 2013 (Myanmar), 2015 (Singapura), serta pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan membuka saingan berdepan Myanmar pada 25 November, Filipina (29 Nov.), Timor Leste (2 Dis.), sebelum melengkapkan aksi pusingan awal menentang Kemboja pada 4 Disember ini.

Juara bertahan, Thailand pula mengetuai saingan Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Tiga stadium menjadi venue perlawanan bola sepak Sukan SEA 2019 iaitu Stadium Memorial Rizal di Manila, Stadium Binan di Laguna, dan Imus Grandstand and Track Oval di Cavite.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember, manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan aksi final dijadual berlangsung pada 10 Disember, iaitu sehari sebelum upacara penutup Sukan SEA 2019. – MalaysiaGazette