KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya yang bakal memulakan kempen pada kejohanan sulung FIFA ASEAN Cup 2026.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata, kejohanan berkenaan akan membuka tirai esok di Indonesia dan Hong Kong.
Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu mengingatkan beliau kepada pengumumannya ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur tahun lalu, ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
“Ketika itu, saya menyaksikan pemeteraian kerjasama antara FIFA dan ASEAN yang membuka jalan kepada penganjuran kejohanan ini,” katanya.

Harimau Malaya dijadual memulakan kempen menentang Bangladesh pada Jumaat ini sebelum berdepan dua negara jiran, Indonesia dan Singapura.
“Insya-Allah, Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Bangladesh pada Jumaat ini, sebelum berdepan dua negara tetangga, Indonesia dan Singapura.
“Ayuh kita berikan sokongan padu kepada pasukan negara. Semoga mereka membawa pulang kejayaan buat Malaysia!” katanya. – MalaysiaGazette
















