JOHOR BAHRU – AQSolotl Pte Ltd, sebuah syarikat teknologi kuantum berpangkalan di Singapura kini menempatkan operasi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di UTM Technovation Park di sini.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam satu kenyataan memberitahu, perkembangan itu sekali gus menjadikan UTM sebagai pangkalan operasi syarikat perkakasan pengkomputeran kuantum pertama yang beroperasi di Malaysia.
“Penempatan operasi itu memperluas hubungan penyelidikan UTM dengan ekosistem teknologi kuantum di Singapura, selain membuka peluang kepada pembangunan teknologi, pengkomersialan dan bakat tempatan dalam bidang berkenaan.
“Perkembangan itu juga meneruskan perjalanan pembangunan kepakaran kuantum UTM yang bermula sejak 2009 melalui kerjasama dengan Jepun sebelum diperluas menerusi jaringan penyelidikan dengan institusi di Singapura sejak 2018,” menurut UTM dalam kenyataan itu hari ini.
AQSolotl memfokuskan kepada pembangunan perkakasan dan sistem kawalan bagi teknologi pengkomputeran kuantum, termasuk Chronos-Q, sistem kawalan komputer kuantum yang digunakan untuk mengawal kubit dan berkomunikasi dengan komputer klasik seperti superkomputer dan pusat data.
Kehadiran AQSolotl di UTM membuka peluang kepada penuntut untuk menjalani latihan industri dan mendapat pendedahan secara langsung kepada persekitaran penyelidikan serta pembangunan teknologi kuantum.
Peluang itu membolehkan penuntut menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman industri dalam bidang teknologi termaju, di samping menyumbang kepada pembangunan bakat kuantum tempatan.
Kepakaran kuantum UTM diterajui Dr. Yap Yung Szen bersama-sama Prof Madya Dr. Haza Nuzly Abdull Hamed dan Dr. Koh Meng Hock.
Yung Szen nendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pemilihan dalam Quantum 100, sebuah inisiatif UNESCO sempena International Year of Quantum Science and Technology yang mengetengahkan individu yang memberi sumbangan kepada pembangunan sains, teknologi, pendidikan dan ekosistem kuantum.
Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, perkembangan itu menunjukkan peranan universiti penyelidikan boleh diperluas daripada menghasilkan ilmu dan penerbitan akademik kepada pembangunan teknologi serta industri.

“Bagi UTM, pencapaian ini bukan sekadar tentang sebuah syarikat teknologi beroperasi di kampus. Ia menunjukkan bagaimana penyelidikan yang dibina secara konsisten, disokong jaringan antarabangsa dan digerakkan oleh kepakaran tempatan boleh diterjemahkan kepada teknologi, pengkomersialan, pembangunan bakat serta industri baharu untuk negara,” katanya.
Katanya, UTM mahu menjadi tempat penyelidikan termaju bukan sahaja dibangunkan, tetapi turut diterjemahkan kepada penyelesaian dan aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada Malaysia.
Dalam pada itu, Yung Szen yang merupakan pengasas bersama-sama dan Ketua Pegawai Teknikal (CTO) AQSolotl berkata, penempatan operasi syarikat itu di UTM membuka peluang untuk membangunkan ekosistem kuantum yang lebih menyeluruh di Malaysia.
“Teknologi kuantum memerlukan integrasi antara penyelidikan asas, kejuruteraan, pembangunan perkakasan, perisian, bakat dan industri. Dengan adanya operasi R&D&C di UTM, kita mempunyai peluang untuk membangunkan ekosistem teknologi kuantum secara lebih tersusun di Malaysia.
“Yang lebih penting, pelajar dan penyelidik tempatan akan mempunyai peluang untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan teknologi kuantum sebenar, bukan sekadar mempelajarinya secara teori,” tambahnya.
Menurutnya, hubungan UTM dengan ekosistem kuantum antarabangsa itu dibangunkan secara berperingkat-peringkat.
“Di Jepun, UTM bekerjasama dengan The University of Osaka dalam penyelidikan teknologi kuantum, pembangunan bakat serta mobiliti staf dan pelajar,” katanya.
Kerjasama itu ujarnya, turut memberi akses kepada ekosistem penyelidikan berteknologi tinggi yang tertakluk kepada kawalan eksport dan keperluan keselamatan tertentu, termasuk proses kelulusan bagi penyelidik dan penuntut UTM terlibat dalam aktiviti penyelidikan berkaitan.
Sementara itu, jaringan UTM di Singapura melibatkan ekosistem Centre for Quantum Technologies (CQT), Nanyang Technological University (NTU) dan National University of Singapore (NUS), yang menyumbang kepada pembangunan teknologi kawalan dan perkakasan pengkomputeran kuantum.
Jaringan penyelidikan itu kemudiannya berkembang kepada usaha pengkomersialan menerusi AQSolotl, sebelum operasi R&D&C syarikat berkenaan ditempatkan di UTM.- MalaysiaGazette
















