Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Pelabur asing terus keluar dari Bursa Malaysia antara tempoh Isnin hingga Khamis pada minggu yang baru berakhir ini walaupun jualan berkurangan kepada RM145.7 juta daripada aliran keluar bersih RM351.6 juta dalam tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran global kekal mengelak risiko, apabila isu yang menyelubungi rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China terus menjadi tumpuan.

Selain itu, beliau berkata, penurunan unjuran pertumbuhan global oleh Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) baru-baru ini, juga menyebabkan pengelakan risiko dalam pasaran.

Menurut Mohd Afzanizam, perkembangan terkini di Dewan Perwakilan AS dan Senat yang meluluskan rang undang-undang “Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi Hong Kong” menjadi cabaran kepada rundingan AS-China, kerana rang undang-undang itu boleh dianggap sebagai satu bentuk campur tangan kepada politik tempatan China.

“Bagaimanapun, petunjuk dari China berkaitan rundingan perdagangan dengan AS nampaknya positif selepas berita melaporkan para pegawai China menjemput perunding AS ke Beijing bagi rundingan perdagangan seterusnya.

“Sekali lagi, nampaknya ada sedikit harapan bagi penyelesaian,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata, pemain pasaran semakin bimbang bagaimana pertelingkahan perdagangan itu akan menjejaskan momentum pertumbuhan global tahun depan.

Mengenai penurunan unjuran pertumbuhan global 2019 OECD kepada 2.9 peratus daripada 3.2 peratus, ahli ekonomi itu berkata ini boleh membawa kepada permintaan tinggi terhadap aset selamat, seperti bon kerajaan sebagai pertukaran kepada aset berisiko seperti ekuiti.

Pertubuhan ekonomi antara kerajaan berpangkalan di Paris itu juga menyemak turun sasaran pertumbuhan globalnya bagi 2020 kepada tiga peratus daripada 3.4 peratus dalam laporan Prospek Ekonominya yang dikeluarkan pada Khamis. – MalaysiaGazette