Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, berkuatkuasa hari ini.

Adam Rosly disabitkan enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Mahkamah Seksyen tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh ketika membacakan keputusan beliau sebentar tadi berkata, pihaknya menolak rayuan serta mengesahkan sabitan dan hukuman sebelum ini.

“Saya tidak mahu ’mengacau’ keputusan Mahkamah Sesyen. Saya tolak permohonan rayuan ini dan mengekalkan sabitan serta hukuman,” katanya ringkas ketika pendengaran kes sebentar tadi.

Adam Rosly, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 26 April 2018 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 selepas mendapati dia bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM ketika siasatan berhubung dakwaan kemewahan luar biasa yang dimilikinya.

BACA: Adam Rosly dipenjara 6 bulan

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua pegawai penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 (8) (c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pernyataan palsu itu adalah berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu Ampang yang dibeli secara tunai, pinjaman wang RM200,000 daripada ibu mentua dan arwah neneknya serta pinjaman wang RM500,000 daripada along.

BACA: Kes Adam Rosly: PKR serah kepada Azmin, Zuraida

Bagi pertuduhan ketiga sehingga keenam, lelaki itu dituduh menggunakan suatu dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM mengikut Seksyen 89 akta yang sama.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Ibu Pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 9 pagi dan 12.15 tengah hari 10 Februari 2017, dan antara 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama. -MalaysiaGazette