Naib Pengerusi Kumpulan Komunikasi dan Pembinaan China, Sui Zhen Hai (kanan) bersama Pengerusi dan Pengarah Urusan CORE Precious, Zhang Bao (dua kanan) melihat replika projek pembangunan kediaman pertama pada Majlis Pelancaran “Core Residence @ TRX di Menara Khuan Choo, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Core Precious Development Sdn. Bhd. menjangkakan projek kediaman mewah Core Residence @ TRX siap pada 2023 dan boleh diserahkan kepada pembeli pada suku pertama 2024.

Menurut Ketua Pengerusi dan Pengarah Urusannya, Zhang Bao, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion itu akan dijual pada harga RM2,200 sekaki persegi.

Dibangunkan di atas tanah seluas 1.65 ekar, Core Residence @ TRX mempunyai tiga blok dengan 700 unit kondominium servis berukuran di antara 624 hingga 1,024 kaki persegi.

Bangunan kediaman 50 tingkat itu mendapat piawaian pensijilan bangunan hijau iaitu LEED dan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Kami membuat banyak penyelidikan sebelum mengambil keputusan untuk menyertai pembangunan di TRX.

“Kami mendapati keadaan politik di Malaysia juga stabil di samping itu, China Communications and Construction Group (CCCG) telah bertapak di negara ini sejak awal lagi,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Core Residence @ TRX di sini hari ini.

CCCG memegang 80 peratus kepentingan dalam Core Precious Development Sdn. Bhd. manakala bakinya dimiliki WCT Holdings Bhd.

Kediaman setinggi 50 tingkat itu dilengkapi dengan kolam renang infiniti, gimnasium, podium tujuh tingkat dengan taman utama di atas bumbung bersama pelbagai kemudahan bertaraf dunia.

Menurut Bao, terletak di tengah pusat bandar iaitu di persimpangan Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak, Core Residence @ TRX mempunyai akses terbaik perkhidmatan pengangkutan bersepadu seperti lebuh raya dan kemudahan lain seperti peruncitan, hiburan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.- MalaysiaGazette