Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik telah diluluskan sejak ia dilancarkan 1 September hingga 31 Oktober lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan nilai sebanyak bernilai RM596 juta.

Menurutnya, selain akses kepada pembiayaan, pengetahuan kewangan juga penting untuk memastikan bakal pembeli rumah tidak terbeban dengan bayaran bulanan pembiayaan.

Tambahnya, modul pendidikan kewangan yang disediakan secara online oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu portal Rumahku, juga akan membantu pembeli rumah memahami komitmen kewangan yang bakal dihadapi sebelum membeli rumah.

Guan Eng menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH) Hassan Abdul Karim yang bertanya sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Menteri Kewangan itu berkata, AKPK turut menyediakan program pengurusan kredit untuk semua individu yang memerlukan bantuan dalam mengurus bebanan kredit dengan institusi kewangan.

Menurut beliau, bagi pembeli yang tidak berjaya mendapatkan pembiayaan, mereka boleh memanfaatkan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung sebab-sebab permohonan tidak berjaya serta khidmat nasihat untuk meningkatkan kelayakan pembiayaan pada masa hadapan.

Dana Rumah Mampu Milik diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan dengan peruntukan RM1 bilion untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah.

Selain itu, penambahbaikan dilaksanakan termasuk pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum harta tanah dinaikkan kepada RM300,000.

Melalui dana ini, pembeli rumah pertama, terutamanya golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah dari pasaran semasa iaitu sebanyak 3.5% setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan. – MalaysiaGazette