Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tengah) bercakap pada sidang media berkenaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Langkah 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengadakan pertemuan dengan pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bahawa UMNO masih teguh sebagai satu parti.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, dakwaan ada segelintir Ahli Parlimen BN yang mahu meninggalkan parti juga adalah satu tuduhan yang tidak benar.

“Malam tadi Presiden mengadakan pertemuan dengan seluruh Ahli Parlimen BN.

“Setakat kita tahu, kesemua 41 BN bersatu padu dan banyak khabar angin adalah tidak benar,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Annuar berkata, sebagai Setiausaha, beliau dapat melihat hubungan yang ukhwah antara kepimpinan UMNO dengan Ahli-ahli Parlimen semasa perjumpaan itu.

Jelas beliau, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen BN yang menyatakan hasrat mereka untuk lompat parti.

“Saya dengan Presiden malam tadi duduk beberapa jam dalam perjumpaan itu. Saya gembira sebab seluruh Ahli Parlimen UMNO beri taat setia tak belah bagi kepada UMNO,” katanya lagi.

Semalam, Datuk Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman menafikan dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mereka mengadu parti itu sudah hilang arah.

Malah katanya, dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan itu bertujuan menutup kekalahan gabungan parti pemerintah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai. – MalaysiaGazette