KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu dua Exco Kerajaan Negeri Melaka yang tidak menyokong usul lantikan Datuk Halim Bachik sebagai Senator Dewan Negara yang gagal diluluskan kini sudah selesai.

Katanya, ia berikutan permohonan maaf kedua-dua mereka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Datuk Ginie Lim Siew Lin, hari ini.

“Kedua-dua exco telah memberikan penjelasan dan memohon maaf kerana ada kekeliruan.

“Mereka mahu ikut proses yang betul dan sokongan mereka kepada kerajaan Negeri Melaka di bawah Ketua Menteri, Adly Zahari tidak berbelah bahagi.

“Tidak timbul isu keretakan dalam PH negeri,” katanya kepada media selepas bertemu kedua-dua wakil rakyat itu di pejabatnya hari ini.

Muhammad Jailani Khamis dan Ginie Lim Siew Lin bertindak keluar dewan semasa Adly Zahari bagi mencadangkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Datuk Abdul Halim Bachik sebagai Ahli Dewan Negara.

Usul itu gagal diluluskan kerana hanya meraih 12 undi berbanding 13 yang menolak.

Justeru itu kata Anwar, usul tersebut akan dibentangkan semula pada Mac tahun depan.

“Pelantikan senator yang pada mulanya dicadangkan Halim Bachik ditangguh ikut jadual. Kita akan ikut proses berbincangan dalaman parti kerana mesyuarat DUN hanya akan berlangsung Mac tahun depan,” katanya lagi.

Halim Bachik gagal diusulkan sebagai Ahli Dewan Negara selepas pengundian menyaksikan kesemua 13 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak usul itu, dan hanya 12 ADUN PH menyokong dan tiga ADUN berkecuali.

Dua ADUN daripada PKR itu ialah Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya) dan Datuk Muhamad Jailani Khamis (Rembia) manakala G. Saminathan (DAP-Gadek) dibenarkan tidak menghadiri persidangan itu kerana sedang menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE). – MalaysiaGazette