Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Empat individu daripada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) telah memberi keterangan kepada polis berhubung paparan imej Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima semasa perasmian Kejohanan Kebangsaan Piala Lum Mun Chak Bawah 15, di Stadium Maba, di sini, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata selain mereka, beberapa individu lagi termasuk wakil dari syarikat kontraktor teknologi maklumat yang menguruskan imej itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Saya menjangkakan wakil syarikat itu akan dipanggil pada malam ini atau esok pagi bagi membantu siasatan kes ini.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk sebab video itu dimuat naik ke media sosial,” katanya pada sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima sembilan laporan berhubung kejadian itu dan polis akan menyiasat sama ada video yang dimuat naik itu secara sengaja dilakukan untuk mencipta perkara yang tidak tenteram dalam negara.

“Video ini tular di media sosial dan kita menerima komen yang negatif daripada masyarakat kerana perbuatan sedemikian. Saya yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Imej Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima itu dipaparkan menerusi klip video yang berdurasi 1 minit 42 saat bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku semasa perasmian kejohanan itu.

Semalam, polis telah memanggil presiden Maba (Datuk Lua Choon Hann) bagi memberi keterangan tentang insiden berkenaan.- BERNAMA