Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad dicabar membuktikan dakwaan mereka yang peraturan tidak menyatakan batasan umur adalah 35 tahun ke bawah sahaja bagi memegang jawatan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pemecatan kedua-dua mereka daripada jawatan pengerusi tetap dan timbalan tidak dibuat dengan sewenangnya-wenangnya.

Ia sebaliknya telah melalui proses yang ditetapkan iaitu dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat berdasarkan aduan daripada AMK Kedah mengenai wujud unsur mencurigakan apabila jumlah undi yang diterima mereka melebihi perwakilan yang mengundi selain had umur yang jelas kedua-dua mereka melanggar peraturan.

Keputusan peringkat AMK kemudian tambah Akmal dibawa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Tunjukkan kepada saya peraturan ini setakat ini (peraturan) itu menyebut apa jawatan dalam AMK mesti dipegang oleh AMK. Terima kasih menjadi sebahagian daripada AMK tetapi kami perlu memastikan AMK diurus oleh AMK.

“Sebab itulah bila usul yang dibawa oleh AMK dari Kedah menyebut mereka mempertikaikan perkara ini sudah melanggar peraturan, saya fikir pimpinan AMK pusat perlu teliti balik perkara ini sudah tersasar, tersilap.

“Mesyuarat AMk lepas kita bincang dan kita mendapati memang ada keraguan yang jelas dan juga daripada segi undian lebih daripada perwakilan tahun lepas dan bersetuju dengan pandangan mereka dan pandangan ini telah diangkat ke peringkat MPP yang mesyuarat Ahad lalu yang sama juga yang mana mereka juga tiada halangan sebab ini melibatkan peraturan AMK.

“Bagi kami keputusan itu telah melalui prosesnya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru (PH) ketika ditemui di lobi Parlimen hair ini

Semalam, Setiausaha AMK, Ahmad Suukri Razak dalam suratnya memaklumkan kedua-duanya dilucutkan jawatan kerana ada keraguan yang timbul daripada pemilihan mereka berhubung jumlah undi dikatakan lebih tinggi daripada jumlah perwakilan semasa pemilihan tahun lalu.

Isu berkenaan kelayakan umur mereka turut dibangkitkan dalam surat itu.

Mizan dan Mohd Ramly kemudian tidak berpuas hati dan menyifatkan pemecatan mereka boleh menyebabkan risiko PKR diharamkan.

Justeru mereka berdua menerusi kenyataan bersama mendesak pemecatan yang berlaku di tengah-tengah kemelut pertembungan penyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disiasat parti secara profesional.

Mengulas lanjut isu tersebut, Akmal berkata, Kongres PKR tidak lama lagi akan memutuskan pengganti Mizan dan Mohd Ramly.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantah tindakan parti, PKR mungkin dibatal pendaftaran