Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membuat sebarang pinjaman untuk membayar gaji penjawat awam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata,  ia terbukti apabila penarafan kredit berdaulat Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A dengan unjuran stabil.

Beliau menjelaskan bahawa sekiranya kerajaan Persekutuan terpaksa meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian.

“Tambahan lagi, kerajaan sedang menepati sasarannya untuk merendahkan defisit fiskalnya daripada 3.7 peratus berbanding KDNK pada tahun 2018 kepada 3.4 peratus untuk tahun ini dan segala pinjaman kerajaan adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan oleh pentadbiran pentadbiran terdahulu,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu lagi, perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman.

Beliau turut menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan semasa ucapan beliau di Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan pada 25 November 2019 kononnya Kerajaan meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam adalah jauh meleset dan mudah disangkal.

“Bagi suku ketiga 2019, emolumen kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM19.9 bilion. Sebagai perbandingan, pendapatan kerajaan dalam suku yang sama adalah berjumlah RM68.8 bilion dan ini bermakna pendapatan kerajaan adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding tanggungan emolumennya,” ujarnya.

Beliau dalam kenyataan yang sama melampirkan perbandingan pendapatan kerajaan untuk setiap suku tahun sejak suku kedua 2018 hingga suku ketiga 2019 yang mana perbandingan tersebut menunjukkan bahawa pendapatan kerajaan sentiasa lebih besar daripada emolumennya.

Jelas beliau, perangkaan terbaharu telah diterbitkan oleh Kementerian Kewangan pada muka surat 8 dalam laporan Ekonomi Malaysia Suku Tahunan dan sentiasa dikemas kini dan diumumkan untuk pengetahuan awam sambil memaklumkan ia boleh dimuat turun secara percuma daripada laman web Perbendaharaan di https://www.treasury.gov.my/index.php/en/economy/quarterly-malaysianeconomic.html.

Tambah Guan Eng, kerajaan Persekutuan sentiasa berupaya membayar gaji penjawat awam serta memenuhi obligasi kewangannya yang lain.

“Ini berlainan dengan situasi yang dialami oleh kerajaan negeri Kelantan yang mana Kementerian Kewangan pada 14 Oktober 2019 telah meluluskan permohonan pendahuluan daripada kerajaan negeri berjumlah RM100 juta untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan negeri tersebut termasuk untuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri itu sehingga penghujung tahun 2019.

“Pada tahun 2018, kerajaan Persekutuan juga telah mendahulukan wang sejumlah RM91.5 juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan sama demi kesejahteraan penduduk negeri Kelantan. Dengan ini, jelas sekali bahawa kritikan Datuk Seri Mohamad Hassan telah jauh tersasar dan sepatutnya dialihkan ke arah kerajaan negeri Kelantan, dan bukannya kerajaan Persekutuan,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette