Dejan Lovren menjaringkan gol penyamaan menentang Napoli dalam aksi kelima kumpulan E Liga Juara Juara Eropah di Anfield awal pagi tadi.

ANFIELD – Juara bertahan, Liverpool terpaksa membuat perhitungan perlawanan terakhir peringkat kumpulan E untuk menentukan kemaraan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

Dalam aksi kelima kumpulan, the Reds bimbingan Jurgen Klopp berputih mata apabila impian layak ke pusingan ke-16 lebih awal musnah selepas terikat 1-1 bersama Napoli di Anfield.

Beraksi di halaman sendiri, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dikejutkan pada separuh masa pertama oleh pelawat Napoli yang membuka jaringan pada minit ke-21.

Dries Mertens berjaya memperdaya bek pertahanan pasukan sombong itu sebelum meledakkan gol sekaligus mengejutkan tuan rumah.

Liverpool yang kebiasaannya mempamerkan aksi serangan secara menekan lawan agak bergelut terhadap pelawat untuk menguasai perlawanan.

James Milner nyaris menyamakan kedudukan di penghujung separuh masa pertama bagaimanapun disia-siakan.

Bek pertahanan Napolis yang kebal dengan diketuai Kalidou Koulibaly ternyata memberi masalah kepada the Kops yang terus buntu mencari gol penyamaan.

Selaku tuan rumah, Liverpool akhirnya berjaya mencari gol penyamaan menerusi Dejan Lovren hasil tandukan kuat menerusi sepakan penjuru pada minit ke-65.

Ia memberi nafas baharu kepada penyokong the Kops yang mahu pasukannya mencari gol kemenangan.

Bagaimanapun impian Liverpool mencari gol kemenangan tidak kesampaian ekoran kekebalan pertahanan Napoli berjaya menafikan tiga mata penuh yang dikejar dan sekadar terikat 1-1.-MalaysiaGazette