Pengurus Wolves, Nuno

LONDON – Arsenal dikhabarkan sudah mengenalpasti calon pengganti terbaik Unai Emery di Emirates sekiranya pengurus Gunners itu dipecat.

Emery kini berada dalam kedudukan tertekan selepas pasukan bimbingannya merekodkan keputusan seri dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris berturut-turut setakat ini.

Arsenal hanya menang empat daripada 13 perlawanan EPL musim ini.

BBC Sport difahamkan sekiranya Emery dipecat kelab itu, Pengurus Wolverhampton Wonderers, Nuno Espirito Santo dilihat sebagai calon paling layak memulihkan masalah skuad itu.

Sejak Arsene Wenger meninggalkan Emirates dua tahun lalu, Arsenal terumbang-ambing tanpa mendapat rentak positif dalam semua perlawanan domestik dan antarabangsa setakat ini di bawah Emery.

Nuno yang berasal dari Portugal dilihat sebagai pengurus yang berkaliber berdasarkan pencapaian mengendalikan pasukannya dalam EPL setakat ini yang mengungguli tangga lima teratas liga.

Nuno dikatakan dibenarkan untuk berunding dengan Arsenal mengenai pengambilalihan tugas skuad Arsenal.

Bagaimanapun Nuno berpendapat ia adalah satu tindakan tidak hormat membicarakan khabar angin yang mengaitkan dirinya sebagai pengganti Emery di Emirates.

Nuno berkata demikian dalam sidang media menjelang aksi Liga Eropah bertemu Braga Khamis malam tadi.

“Saya tiga berminat bicara tentang isu yang tidak realistik, bercakap tentang tugas yang sudah ada pengurus adalah tindakan tidak bermoral dan saya tidak mahu berbuat demikian,” katanya.

Emery pula mendakwa dia masih disokong kelab itu tetapi diberi amaran memperbaiki aksi pasukan.

“Kelab ini menyokong saya, dan semua bertanggungjawab berdiri teguh bersama saya membangunkan pasukan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette