Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (dua kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abduk Kadir Abu Hashim (tengah) beramah mesra ketika hadir pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah di Paya Indah Wetlands, Dengkil, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 28 NOVEMBER 2019.

SEPANG – Tiga daripada 63 pemburu haram yang ditahan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dihadapkan ke mahkamah dalam operasi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, ketiga-tiga mereka dijatuhkan hukuman penjara 20 bulan di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Johor.

Jelas Mazlan, hukuman itu adalah sebahagian daripada 21 kes yang membabitkan tangkapan 63 suspek yang terdiri daripada 15 rakyat Malaysia selain warganegara Thailand, Bangladesh, Indonesia, China, Myanmar, Kemboja dan Vietnam.

“Tindakan untuk menuduh di mahkamah telahpun dilaksanakan di mana pendakwaan dibuat kepada 3 suspek yang mana hukuman hukuman dikenakan iaitu lebih kurang 2 tahun,” katanya dalam sidang media Ops Khazanah di Paya Indah Wetland, hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang memasuki siri kelima baru-baru ini telah menahan 4 suspek berusia 40an di Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah dipercayai aktif melakukan pemburuan haram sejak 5 tahun lalu.

Polis menemui gading gajah, tanduk rusa dan kulit binatang liar yang bernilai kira-kira RM240,000 ketika operasi dijalankan.

Selain itu lima kenderan jenis Volkswagen, Mercedes dan Honda milik suspek dipercayai hasil kegiatan haram itu turut dirampas dan pasukan polis bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut membeku 13 akaun suspek dan ahli keluarga mereka yang berjumlah RM1.5 juta.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat dibawah Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan Seksyen 60 iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi. -MalaysiaGazette