Peguambela, Sangeet Kaur Deo (kanan) mengatakan sesuatu kepada Umadevi isteri kepada ADUN Gadek Melaka, G. Saminathan selepas mengetahui keputusan permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan yang diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Persoalan apakah nasib yang menanti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan yang memohon perintah jamin daripada Mahkamah Tinggi akhirnya terjawab.

Saminathan yang merupakan ADUN DAP itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan keputusan beliau berkata, seseorang hakim boleh menimbangkan permohonan ikat jamin walaupun didakwa melakukan kesalahan berkaitan keganasan.

Kata beliau, Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma adalah bercanggah dengan Perkara 8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen 13 Akta SOSMA ini yang melarang mahkamah daripada memberikan ikat jamin dalam kes-kes kesalahan keselamatan, melanggar doktrin pemisahan kuasa antara badan kehakiman, badan perundangan dan eksekutif.

“Undang-undang ini juga melanggar perlembagaan kerana menafikan hak mahkamah untuk memberikan atau menolak ikat jamin.

“Hakim boleh menimbangkan permohonan ikat jamin walaupun sekiranya orang yang dituduh didakwa kerana melakukan kesalahan berkait keganasan,” katanya ketika membacakan keputusan beliau berhubung kes tersebut.

Beliau juga menyerahkan kuasa kembali kepada Mahkamah Sesyen untuk membuat pertimbangan jika ikat jamin boleh diberikan atau sebaliknya selepas ini.

Keputusan itu mengundang rasa gembira dalam kalangan penyokong ADUN itu yang berada di luar mahkamah.

Mereka saling berpelukan dan bertepuk tangan apabila peguam Saminathan, Sangeet Kaur Deo memberitahu keputusan tersebut.

Pasukan pembelaan juga melakukan permohonan ikat jamin selewat-lewatanya sebelum Rabu ini dan positif dengan keputusan yang bakal diumumkan kelak.

Peguambela, Sangeet Kaur Deo (kiri) bersama Penasihat DAP, Lim Kit Siang bercakap kepada media selepas mengetahui keputusan permohonan jaminan ADUN Gadek Melaka, G. Saminathan yang dikaitkan dengan kes individu berkaitan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan yang diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2019

Antara yang hadir  Penasihat Seumur Hidup DAP, Lim Kit Siang, ADUN Sg Pelek, Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Saminathan, 34, menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut SOSMA.

Sebelum ini, peguam bela, Ram Karpal Singh pada Selasa lepas berhujah mendakwa badan Kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin dan badan eksekutif tidak boleh campur tangan dalam hal berkenaan.

Peguam itu berkata, pihaknya menerima bahawa ia bukan sesuatu yang mudah untuk mahkamah membenarkan ikat jamin, tetapi untuk menafikan terus hak anak guamnya bagi mendapatkan ikat jamin adalah tidak wajar.

Reaksi ceria Umadevi isteri kepada ADUN Gadek Melaka, G. Saminathan selepas mengetahui keputusan permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan yang diadakan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 29 NOVEMBER 2019

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki lain termasuk ADUN Seremban, Jaya, P Gunasekaran juga dari DAP yang ditahan atas kesalahan sama untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE. –MalaysiaGazette

LTTE: Permohonan ikat jamin ADUN Gadek diputuskan Jumaat ini

1 Komen

Comments are closed.