Peguam, Ram Karpal Singh bercakap kepada media selepas permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan yang diadakan di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Ghazali menetapkan 29 November ini bagi memberi keputusan permohonan ikat jamin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan.

Saminathan, 34, ketika ini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana menyokong serta memiliki item kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE)

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas tamat hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan kira-kira jam 8 malam tadi dengan prosiding berlangsung lebih 4 jam.

“Keputusan bagi kes ini akan saya putuskan pada hari Jumaat, 29 haribulan pada jam 10.30,” katanya.

Ketika berhujah, Saminathan yang diwakili oleh Ram Karpal Singh berkata, Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak berperlembagaan kerana ia menghalang sepenuhnya sebarang ikat jamin.

Malah kata beliau, undang-undang itu sebenarnya bersifat tidak adil serta diskriminasi kerana ia hanya digunapakai untuk pesalah lelaki sahaja.

Di bawah Seksyen 13 (1) termaktub ikat jamin tidak boleh diberikan kepada seseorang yang didakwa dengan kesalahan keselamatan manakala Seksyen 13 (2) menyatakan pengecualian diberi kepada individu berusia di bawah 18 tahun, wanita dan juga mereka yang sakit serta tidak berdaya.

“Kita mohon mahkamah yang mulia ini untuk membatalkan Seksyen 13 kerana tidak berperlembagaan,” hujahnya.

Pada awal bulan ini, Saminathan mengemukakan surat representasi kepada Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung permohonan jaminan yang membabitkan isu perlembagaan.

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki juga dikaitkan dengan kumpulan LTTE termasuk ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lalu atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Dalam pada itu, Saminathan yang tampil berbaju warna biru muda kelihatan tenang dan sempat senyum dan bercakap dengan beberapa pemimpin DAP serta keluarganya.

Ketika bercakap dengan mereka semasa waktu rehat selama 15 minit yang diberikan oleh Mohd Nazlan setelah pihak pembelaan berhujah hampir dua jam, Saminathan dikerumuni keluarga serta pimpinan DAP.

MalaysiaGazette difahamkan beliau dilayan dengan ‘lebih baik’ berbanding sebelum ini, malah permohonan beberapa pemimpin parti untuk bertemunya di penjara juga dibenarkan.

Bilik perbicaraan hampir penuh dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai dan beberapa pemimpin utama DAP seperti Lim Kit Siang, Teo Nie Ching, Charles Santiago, Datuk Ambiga Sreenevasan, Lim Lip Eng.

Selain daripada mereka, penyokong Saminathan turut mengikuti perbicaraan tersebut yang bermula jam 4 petang tadi dan berkahir jam 8 malam.

Ram Karpal yang ditemui pemberita yakin permohonan ikat jamin itu akan diberikan kepada anak guamnya pada Jumaat ini dengan hujah-hujah yang diberikan oleh pihaknya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Popcorn please, kita nengok coming soon drama ah tok and the gangs… Kuat betoi bau… HangCing

Comments are closed.