PEKAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan 30 orang rakyat Malaysia di Pontianak, Kalimantan Barat semalam yang didakwa terbabit aktiviti penipuan dalam talian.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti jika terdapat penglibatan kegiatan jenayah terancang membabitkan rakyat di negara ini.
“Hasil maklumat itu nanti akan membolehkan kita menyusun rencana untuk tindakan selanjutnya.
“Ia berlaku semalam. Saya akan semak dengan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil sama ada tindakan susulan telah diambil. Tapi kita akan teruskan siasatan di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di SK Nenasi, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita serta seorang lelaki warga Taiwan kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat.
Kumpulan itu dikatakan telah menggunakan 14 bilik di tingkat tiga sebuah hotel untuk mengendalikan aktiviti mereka. – MalaysiaGazette
















