foto NOOREEZA HASHIM, 11 APRIL 2019.

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka bercadang menjadikan kartun animasi ‘Upin & Ipin’ sebagai antara produk pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri itu, kata Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata, usaha itu meliputi beberapa aspek antaranya pembinaan taman tema ‘Upin & Ipin’ dan penganjuran Karnival ‘Upin & Ipin’ sebagai acara tahunan negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri akan memberi bantuan dan sokongan khususnya dalam aspek promosi bagi melaksanakan inisiatif itu menerusi Bahagian Promosi Pelancongan, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Upin & Ipin bukan sahaja jenama di peringkat tempatan namun ia terkenal di peringkat antarabangsa manakala Melaka merupakan negeri pelancongan yang terkenal di dalam dan luar negara dan mempunyai kehadiran pelancong yang ramai setiap tahun.

“Kita yakin Les’ Copaque Production Sdn Bhd boleh buat penilaian menimbangkan cadangan berkenaan berdasarkan kehadiran pelancong ke Melaka dan kita sentiasa memberi kerjasama menjenamakan Upin & Ipin sebagai tarikan ke Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival ‘Upin & Ipin 2019′ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Zairi Suboh.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung dan antara tarikan utamanya ialah Dewan Inderaloka yang merupakan kerajaan fantasi dalam filem ‘Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal’.

Sementara itu, Burhanuddin berkata, pembinaan Taman Tema Upin & Ipin masih dalam pertimbangan dari aspek lokasi kerana tawaran itu turut dicadangan beberapa kerajaan negeri selain melibatkan kos yang besar.

“Ia perlu dipertimbangkan dengan teliti dan lanjut, pelaburannya bukan sikit, dalam RM700 juta dan ia melibatkan taman tema tertutup,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, dua filem animasi Upin & Ipin dijangka akan dihasilkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pengunjung karnival itu, Atiyya Ismam, 40, dari Klang berkata, beliau ke Melaka hari ini semata-mata untuk membawa empat anak yang berusia tiga bulan hingga 10 tahun untuk melihat secara dekat maskot Upin & Ipin.

“Pengisian karnival ini sangat bermanfaat bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga orang dewasa kerana semua aktiviti yang disediakan boleh disertai ibu bapa dan anak mereka,” kata kakitangan kerajaan itu. – Bernama