Otabek Oblakulov. foto Agensi

TORONTO – Dua keluarga dari Uzbekistan disahkan meninggal dunia dalam kejadian pesawat terhempas di kawasan hutan di pinggir Kingston, Ontario.

Nahas itu mengorbankan tujuh orang, kata duta Uzbekistan menerusi Twitter.

“Kemalangan di Kingston terlalu menyedihkan,” kata tweet dari duta Javlon Vakhabov, sambil menambah kemalangan itu turut mengorbankan kanak-kanak berusia 3, 11 dan 15 tahun.

Vakhabov berkata, kedutaan itu berhubung dengan polis Kingston dan pejabat koroner.

Polis Kingston berkata, nahas yang berlaku pada Rabu itu berlaku ketika pesawat Piper PA-32 membawa tujuh penumpang.

Pesawat berkenaan dimiliki oleh Otabek Oblakulov yang terbang bersama isteri, tiga anaknya, abang dan kakak iparnya.

Oblakulov adalah seorang juruterbang berlesen dengan beribu-ribu jam penerbangan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada memaklumkan telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat kemalangan itu. – MalaysiaGazette