Tan Sri Anifah Aman
Anifah Aman

PUTRAJAYA –  Mahkamah Persekutuan tetap mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini telah membatalkan kemenangan kerusi Parlimen Kimanis, Sabah yang penyandangnya merupakan Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah menang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum-14 dengan majoriti sebanyak 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Ini bermakna akan ada Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi tersebut dalam masa terdekat.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat berkata, pihaknya tidak menemui sebarang kekilafan fakta serta keputusan oleh Hakim Pilihan Raya sebelum ini.

“Kita nampak ada beberapa percanggahan dalam tindakan dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya yang besar dan luas,” katanya ketika membacakan keputusan sebulat suara itu.

Sebelum ini, pada 16 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu, Lee Heng Cehong telah membuat keputusan kemenangan Anifah terbatal dan tidak sah kerana mendapati wujudnya unsur manipulasi undi.

Antara yang dinyatakan oleh Heng Cheong adalah ada penambahan kertas undi secara tidak sah yang telah melanggar undang-undang pemilihan.

Calon WARISAN pada PRU-14, Datuk Karim Bujang telah bertindak memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada masa itu.

Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding calon Warisan iaitu Karim dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat, masing-masing meraih 11,786 undi dan 1,300 undi.

Bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu umum keluar parti pada September tahun lalu.

Beliau yang dihubungi oleh MalaysiaGazette sebentar belum mahu memberi apa-apa ulasan berhubung tindakan seterusnya selepas ini setakat ini. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Mahkamah putuskan kemenangan Anifah Aman di Parlimen Kimanis tidak sah dan terbatal