Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – PKR boleh mengambil tindakan tegas kepada ahli yang bertanggungjawab sekiranya mereka menganjurkan Kongres Nasional PKR kedua.

Menurut Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin parti boleh mengambil tindakan berlandaskan perlembagaan PKR.

Yes (boleh ambil tindakan). Kita akan ambil tindakan mengikut saluran undang-undang dan perlembagaan parti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegaskan hanya akan ada satu sahaja Kongres Nasional rasmi untuk parti PKR, iaitu yang dijadual pada 5 hingga 8 Disember ini iaitu di Melaka.

Sejak kebelakangan ini wujud desas-desus bahawa ada kumpulan didakwa sebagai penyokong Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merancang mengadakan kongres berasingan pada tarikh sama.

Ia berikutan konflik dihadapinya dengan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong antara dua pemimpin itu.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, tidak ada usul untuk membuat undi tidak percaya terhadap Presien PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan di peringkat cabang-cabang parti sebelum ini sehinggalah menjelang kongres beberapa hari sahaja lagi.

“Saluran dalam parti adalah melalui usul yg dibuat di setiap Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Kita teliti setiap mesyuarat yang telah pun sempurna diadakan, dan tidak ada satu usul yang berkaitan perkara ini,” katanya lagi.

Perkara yang sama juga disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Fadzil.

Ahhli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 DISEMBER 2019.

“Saya boleh sahkan bagi cabang-cabang juga tidak ada sebarang usul itu. Maka untuk kongres tidak timbul isu undi tidak percaya dari cabang-cabang yang telah yang telah hantar laporan mesyuarat Agung Tahunan (cabang) masing-masing,” tambah beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hanya ada satu Kongres Nasional PKR – Dr Wan Azizah