Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad (tengah) menunjukkan pelan lot tanah yang diwartakan sebagai Taman Persekutuan Bukit Kiara (TPBK) dan pelan lot-lot tanah asal bagi maksud pembangunan Taman Awam Berskala Besar (TABB) pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewartakan sebuah taman awam berskala besar di Bukit Kiara, di sini, sebagai Taman Persekutuan Bukit Kiara (TPBK).

Menteri Wilayah Persekutuan, Abdul Khalid Samad ketika mengumumkan perwartaan itu berkata, TPBK yang berkeluasan 404.29 ekar melibatkan tujuh lot tanah kerajaan.

Kata beliau, tanah itu ketika ini bawah kawalan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan sebahagiannya diurus Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Syarikat Air Selangor (Syabas).

Beliau menjelaskan, kerajaan mewartakan lot tanah itu menjadi TPBK supaya kawasan hijau sedia ada dapat terus dipelihara dan dikekalkan.

“Cadangan ini bermula sejak 2010 lagi, tapi disebabkan ada masalah tertentu, usaha itu ditangguhkan sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) mewartakannya.

“Daripada keluasan itu, Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya meluluskan 274.31 ekar untuk diwartakan.

“Bakinya seluas 130 ekar lagi telah dipajak oleh sebuah syarikat, yang mana tempoh pajakannya akan tamat tujuh tahun lagi,” katanya pada sidang media Perwartaan TPBK di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan telah berusaha memujuk syarikat terbabit dengan menjanjikan akan menggantikan kawasan lain, tetapi gagal.

Oleh itu, ujarnya, kerajaan terpaksa akur dengan tempoh pajakan dan akan meneruskan sambungan projek TPBK tujuh tahun lagi.

Menurut Abdul Khalid, kawasan itu akan dibangunkan sebagai sebuah taman rekreasi awam berskala besar yang mampu menampung keperluan riadah dan rekreasi pelbagai lapisan masyarakat dengan kepelbagaian flora dan fauna dalam persekitaran semula jadi.

“Bertemakan ‘Park dan Arboretum’, TPBK ini akan mengekalkan ciri dan karektor asal tapak yang unik dan bernilai tinggi.

“TPBK ini terbahagi kepada tiga zon pembangunan iaitu Zon Rekreasi Keluarga, Zon Pentadbiran dan Zon Arboretum.

“Sehingga kini, sebanyak 14,786 pokok utama telah ditanam melalui program penanaman bersama komuniti dan beberapa projek penanaman pokok di sekitar kawasan Zon Arboretum,” katanya. – MalaysiaGazette