Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan semua Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang dan kerajaan Pakatan Harapan supaya mematuhi tata etika sebagai wakil rakyat ketika berdepan isu sensitif termasuk agama.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, beliau amat prihatin berhubung sebarang isu sensitif yang melibatkan agama.

Katanya, kenyataan Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Rahman  yang mengaitkan abu suci di dahi Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dengan abu mayat Chin Peng hanyalah mewakili pandangan peribadi Ahli Parlimen Pasir Salak itu sahaja.

“Tetapi harus ingat bahawa beliau telah menarik balik kenyataan itu dan sebagaimana disebut Speaker Dewan Rakyat, perkara itu telah selesai.

“Mana-mana pihak harap menerima permohonan maaf itu dengan hati terbuka dan isu ini saya ingat sudah diselesaikan.

“Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya dari BN jangan lagi memainkan isu-isu sensitif dan agama sekali pun, kita perlu hormati semua agama,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya sama ada penggantungan Ahmad Tajuddin selama dua hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat ekoran kenyataan abu suci itu akan menjadi iktibar kepada wakil rakyat lain supaya lebih sopan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan penggantungan itu telah diterima baik oleh Ahmad Tajuddin sendiri.

“Saya fikir bukan hanya beliau (Tajuddin) tetapi juga mana-mana ahli pembangkang sama ada pihak pembangkang atau kerajaan harus mematuhi tata etika sebagai ahli Parlimen,” tegasnya sebelum beredar meninggalkan lobi Parlimen.- MalaysiaGazette