Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu tujuan Datuk Seri Husni Hanadzlah sebenarnya memberi keterangan di mahkamah adalah untuk memburukkan reputasi beliau.

Malah kata Najib, bekas Menteri Kewangan II itu mempunyai ‘dendam kesumat’ dengannya sehingga memberikan keterangan tidak betul kerana beberapa perkara tidak mahu didedahkan oleh Najib kepada umum.

Malah kata Najib, menerusi pernyataan Ahmad Husni juga telah salah sangka dengan tindak tanduk beliau sehingga tidak berpuas hati terhadapnya.

“Saya percaya Datuk Husni menyimpan rasa tidak puas hati dengan saya kerana telah memutuskan untuk memindahkan beliau dari MOF (Kementerian Kewangan) kepada EPU (Unit Perancangan Ekonomi) yang kemudiannya beliau bertindak meletak jawatan pada 2016.

“Beliau kemudian menggunakan kandang saksi sebagai satu pentas untuknya menyuarakan keluhan beliau secara terbuka. Terdapat kejadian-kejadian lain yang mana saya tidak bercadang untuk dedahkannya.

“Juga jelas sekali beliau telah salah sangka dengan tindakan-tindakan saya yang telah menyebabkan dendam kesumat yang lebih mendalam terhadap saya,” katanya dalam keadaan tenang di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah

Dalam pada itu, ketika di soal oleh peguam belanya ketika pemeriksaan utama tentang dakwaan Ahmad Husni beliau telah dimarahinya kerana cuba membawa balik wang RM3 bilion milik SRC International yang dibekukan oleh pihak berkuasa Switzerland, Najib menafikannya.

Dakwa Najib, perkara tersebut telah diambil luar konteks dan rasa salah faham Ahmad Husni terhadapnya menebal.

“Beliau ada bertanyakan kepada saya secara tidak formal sama ada perlukah beliau pergi ke Switzerland dan membantu menyelesaikan isu ini. Itu bukan permintaan formal dari beliau.

“Sebenarnya beliau berkata beliau boleh cuba selesaikan perkara ini kerana ada mengenali beberapa individu di Switzerland yang boleh membantu. Saya pula beritahu kepadanya, tidak ada keperluan kerana pihak SRC sudah mula lakukan usaha tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette