KUALA LUMPUR – Kelantan United FC lebih cenderung memilih pemain muda khususnya daripada Liga M3 bagi memberi peluang kepada mereka beraksi di saingan Liga Perdana 2020.

Meskipun Kelantan United berjaya melayakkan diri ke Liga Premier musim depan selepas menjuarai Liga M3 musim ini, mereka enggan terlalu ghairah membentuk pasukan dengan mengikat pemain-pemain profesional dengan bayaran terlalu tinggi sebaliknya lebih berminat untuk memiliki pemain muda.

Setiausaha Kehormat Kelantan United FC, Anas Karimi Ahmad Thani menyatakan mereka akan mengekalkan pemain senior termasuk bekas kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi dan Daudsu Jamaludin selain bakal mengintai beberapa tonggak lain daripada pasukan Liga M3.

Jelasnya, pasukan ini masih lagi bertatih untuk membentuk pengurusan yang stabil dalam memastikan Kelantan United mampu mengharungi Liga Perdana dengan sebaiknya tanpa berdepan sebarang masalah dan pemilihan pemain perlulah tepat dalam menepati keperluan kewangan mereka.

“Kita perlu melihat bakat pemain-pemain muda juga dan bukan sekadar memberi peluang, tetapi ingin menilai sejauh mana mereka mampu buat dengan bakat yang ada itu untuk beraksi bersama dalam Liga Premier.

“Sebagai contoh di Kelantan ketika ini sedang berlangsung Piala MB 2019 dan Kelantan United tidak ketinggalan untuk tengok kalau ada bakat baru pemain-pemain dalam setiap perlawanan berlangsung.

“Kalau mereka ada bakat waalaupun sekadar bermain di liga-liga kampung sahaja, kita boleh ketengahkan juga selain pemain-pemain lain daripada pasukan lain di Liga M3 sebelum ini asalkan ia menepati kemampuan pasukan,” katanya.

Anas yang ditemui dalam Sesi Taklimat Khas bersama Malaysian Football League (MFL) pada Rabu tidak menolak sambutan luar biasa daripada penyokong akan disaksikan di stadium melihat kepada dua pasukan daripada negeri sama bersaing dalam Liga Premier.

Beliau percaya aura penyokong Kelantan FA masih lagi hebat walaupun tidak lagi beraksi di saingan Liga Super dan sudah pasti mereka akan lebih teruja untuk menyaksikan dua pasukan ini bersaing secara sihat musim depan.

“Dengan adanya Kelantan United dan Kelantan FA dalam Liga Perdana, saya percaya akan wujudnya satu persaingan sengit untuk dipersembahkan kepada penyokong kesayangan kami.

“Sepertimana yang disasarkan oleh Presiden kami (Datuk Che Abdullah Mat Nawi) untuk pasukan ini layak ke Liga Super dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi, saya percaya Kelantan United akan mulakan musim 2020 dengan cemerlang dalam Liga Premier dan terus konsisten pada masa hadapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette