Cawan yang dihasilkan daripada biskut sedang diuji penggunaannya oleh Air New Zealand.

WELLINGTON – Air New Zealand sedang menguji cawan kopi yang boleh dimakan dalam usaha mengurangkan jumlah sisa pepejal dalam pesawatnya.

Cawan tersebut dihasilkan oleh syarikat tempatan, Twiice, diperbuat daripada biskut berperisa vanila – dan nampaknya ia ‘tahan bocor”.

Air New Zealand yang menghidangkan lebih daripada lapan juta cawan kopi setahun berkata, ia mahu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.

Dalam satu kenyataan, Air New Zealand berkata, cawan kopi itu sedang diuji “di udara dan di darat” sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mencari “cara inovatif untuk memenuhi cabaran kemampanan”.

“Penggunaan cawan ini mendapat sambutan dalam kalangan penumpang dan kami juga menggunakan cawan ini sebagai mangkuk pencuci mulut,” kata syarikat penerbangan tersebut. – MalaysiaGazette