Akram Mahinan.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain PKNS FC, Akram Mahinan telah sah menyertai kem Kuala Lumpur untuk saingan Liga Perdana musim hadapan.

Berita itu telah diumumkan menerusi laman Facebook Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Pemain berusia 26 tahun itu memiliki pengalaman luas di peringkat domestik dan juga antarabangsa terpaksa meninggalkan PKNS FC selepas pasukan tersebut bergabung dengan Selangor dan telah dijadikan sebagai skuad simpanan dengan nama Selangor II.

Memiliki 26 penampilan bersama skuad kebangsaan serta masih aktif sebagai antara pemain utama Harimau Malaya bakal memberi impak yang positif buat Kuala Lumpur yang baru sahaja diturunkan pangkat ke saingan Liga Perdana untuk saingan musim 2020.

Pada musim 2019, Kuala Lumpur menamatkan musim di dasar Liga Super dengan mengumpul 14 mata daripada empat kemenangan, dua keputusan seri dan 16 kekalahan serta hanya bertahan dua musim sejak mula dinaikkan pangkat ke Liga Super pada musim 2018.

Beraksi di posisi pemain tengah bertahan, Akram pernah beraksi di Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu pada musim 2013 hingga 2016 sebelum kembali ke negeri kelahirannya, Kedah untuk dua musim sebelum menyertai PKNS FC musim lalu.

Beraksi lebih 20 perlawanan untuk Semut Merah, Akram telah membantu skuad kendalian Datuk K. Rajagobal untuk berada di kedudukan ke sembilan liga sebelum diturunkan ke Liga Perdana kerana penggabungan dengan Selangor yang memaksanya mengangkat kaki selepas beberapa rakan juga telah meninggalkan pasukan.

Akram menjadi pemain pertama yang menyertai Kuala Lumpur selepas perubahan pucuk pimpinan KLFA selepas kongres tahunan yang menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad telah dipilih sebagai Presiden KLFA. – MalaysiaGazette