Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) mencapai kejayaan luar biasa dengan memperolehi jualan sebanyak RM3,106,918 sejak dilancarkan dua bulan lepas.

Kempen itu diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasamanya platform e-dagang Shopee.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh 66 hari (setakat 30 November 2019), pihak Shopee telah mempamerkan 3,500 produk buatan Malaysia daripada pelbagai kategori melalui halaman koleksi barangan buatan Malaysia.

Purata pesanan harian bagi barang-barang buatan tempatan yang dijual melalui halaman koleksi ini meningkat 280 peratus kepada RM47,074.52 sehari berbanding RM12,381 sehari sebelum kami melancarkan KBBM pada platform e-dagang tersebut.

Menurutnya, pada 11 November lalu ketika berlangsungnya Shopee 11.11 Big Sale sahaja, urus niaga yang melibatkan produk buatan Malaysia telah mencatat jualan berjumlah kira-kira RM500,000 dalam sehari.

“Keberhasilan ini dicapai kerana kami sangat jelas mengenai strategi kami untuk memanfaatkan kerancakan urus niaga e-dagang menjelang tempoh akhir tahun.

“Apabila melancarkan semula KBBM pada tahun ini, matlamat utama kami untuk memastikan produk tempatan sentiasa menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna. Kami percaya bahawa dengan cara itu, mereka akan mengutamakan produk Malaysia dan menjadikannya tabiat gaya hidup orang Malaysia,” katanya.

Saifuddin berkata, seilangan rakyat Malaysia yang masih tidak menyokong barangan yang dihasilkan di negara ini tidak menyedari bahawa negara kita juga menghasilkan pelbagai barangan berkualiti, yang tahan lama, mampu dimiliki dan bertaraf eksport.

Antara beberapa jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuklah jenama-jenama seperti Old Town White Coffee, Munchy’s, Getha, Khind dan banyak lagi.

“Oleh itu, pihak kami menggesa agar seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyokong kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia ini dan layari halaman koleksi Buatan Malaysia di www.shopee.com/buatanmalaysia pada 12.12 Birthday Sale ini untuk mendapatkan diskaun dan baucar istimewa bagi produk buatan Malaysia kegemaran anda,” katanya. – MalaysiaGazette