Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran

KUALA LUMPUR – MIC akan menyokong Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 di Parlimen sekiranya ia dibawa sekali lagi ke Parlimen.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden parti itu, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebagai bukti MIC tidak menolak prinsip yang dibawa oleh Islam, dalam masa yang sama yakin sekiranya dilaksanakan nanti ia tidak akan menjejaskan bukan Islam.

Berikutan itu beliau mencabar Pakatan Harapan agar memberi laluan kepada RUU itu dibentangkan di Parlimen sekali lagi.

“Saya mahu beritahu, MIC tidak menentang RUU 355. Kami cabar kerajaan bawa kembali RUU 355, kami akan sokong. Kita ada Perlembagaan Persekutuan yang juga menjaga kepentingan bukan Islam, tidak ada salah kalau hendak melaksanakan RUU355.

“Islam tidak ada kaitan dengan bukan Islam,” katanya ringkas apabila ditanya sama ada MIC menerima prinsip Islam atau tidak.

Untuk rekod, Pas menangguhkan sementara pembentangan RUU 355, selepas dibentangkan kali ketiga pada persidangan Parlimen April 2017.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terdahulu dilaporkan berkata, usul bagi membentangkan RUU 355 perlu dicadang serta dikemukakan oleh menteri untuk dibahaskan terlebih dahulu.

Pada 6 April yang lalu, Abdul Hadi membentangkan usul pindaan RUU 355 kali kedua, manakala kali pertama ia dibacakan pada 24 November 2016.- MalaysiaGazette