Hakeem Mohammad Akmal, 18, memperoleh 100 peratus untuk kertas Recording Financial Transactions (FA1).

SHAH ALAM – Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan di dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesional sesi Julai – Disember 2019.

Hakeem Mohammad Akmal, 18, memperoleh 100 peratus untuk kertas Recording Financial Transactions (FA1).

Pencapaian itu melayakkan beliau dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan yang diiktiraf global, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.

Pelajar Fakulti Perakaunan UiTM tersebut telah melanjutkan pengajian dalam program profesional perakaunan Certified Accounting Technician (CAT) di UiTM Shah Alam, sejak Julai lalu.

Beliau menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak dengan keputusan 9A.

“Anak ketiga daripada lima adik beradik ini terus cemerlang dalam pengajiannya dengan mendapat skor tertinggi dalam peperiksaan FA1 meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam mata pelajaran perakaunan sebelum ini.

“Beliau yang merupakan pelajar aliran sains di sekolah menengah sebelum ini, telah memutuskan untuk menukar bidang kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu dan lebih mencabar.

“UiTM amat berbangga dengan pencapaian Saudara Hakeem di peringkat antarabangsa ini,” kata UiTM dalam kenyataan di sini.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa dengan kesungguhan dan usaha yang gigih serta sokongan padu dari pihak universiti rakyat Malaysia boleh mencapai pengiktirafan di arena global.

UiTM sentiasa komited dalam menyediakan pendidikan premier kepada bumiputera dalam mencapai hasrat untuk menghasilkan lebih ramai profesional bagi memenuhi kehendak pasaran kerja di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette